Sunday 23 June 2013

Apa itu Malam Nisfu Sya’ban? Kelebihan, Amalan dan Peristiwa


Assalamualaikum w.b.t

Ok, disebabkan hari ini kita menyambut nisfu sya’ban, saya nak kongsikan sedikat perihal malam nisfu sya’ban. So, entry untuk kali nie pasal apa itu malam nisfu sya’ban, kelebihan, amalan yang dilakukan pada malam tersebut dan juga peristiwa yang berlaku pada malam nisfu sya’ban. Saya harap pembaca semua mendapat sedikit maklumat dan dapat kita mengamalkannya bersama supaya kita mendapat mardhatillah (redha Allah).

Nisfu Sya’ban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Sya’ban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Sya’ban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Sya’ban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Sya’ban bererti setengah bulan Sya’ban. Malam Nisfu Sya’ban adalah malam ke-15 Sya’ban iaitu siangnya 14 haribulan Sya’ban.

Hari Nisfu Sya’ban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslim selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Sya’ban bermula pada 14 haribulan Sya’ban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)

Malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Pada malam Nisfu Sya’ban hendaklah kita merebut peluang keemasan ini dengan cara menghidupkan malamnya dengan ibadat. Sebelum itu, pada siangnya eloklah berpuasa terlebih dahulu. Apabila selesai menunaikan solat Maghrib, disunatkan solat sunat dua rakaat. Selepas itu, hendaklah dibaca surah Yaasin sebanyak tiga kali dengan niat yang berbeza-beza sebagaimana yang akan dijelaskan nanti.

Disunatkan juga memperbanyakkan istighfar dan bertaubat daripada segala dosa serta meminta keampunan daripada Allah SWT untuk kedua ibu bapa serta keluarga di samping memperbanyakkan bacaan Al-Quran, bertasbih, berselawat dan melakukan solat-solat sunat. Selain daripada itu, disunatkan juga memperbanyakkan doa kerana malam Nisfu Sya’ban merupakan malam yang paling mustajab dan penuh rahmat.

Rasulullah SAW bersabda : maksudnya
“Ada lima malam yang tidak ditolak permintaan (doa) iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, dua malam iaitu malam Hari Raya Aidilfitri dan malam Hari Raya Aidiladha”.

Di dalam kitab Durratun Nasihin dinyatakan hadith yang bermaksud :

“Jibril telah datang kepadaku pada malam Nisfu Sya’ban dan berkata : “Wahai Muhammad, pada malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat sedang di buka, oleh itu bangunlah dan kerjakanlah sembahyang, kemudian angkat kepalamu serta kedua-dua tanganmu ke langit.” Aku (Rasulullah) bertanya: “Wahai Jibril, apakah gerangan malam ini?” Jibril menjawab : “Pada malam ini telah di buka 300 pintu rahmat, maka Allah SWT mengampun semua orang yang tidak menyekutukanNya dengan sesuatu melainkan (yang tidak diampuni) ialah tukang sihir, tukang tilik nasib, orang yang sangat suka bermusuhan, peminum arak, pelacur, orang yang makan riba, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapa, orang yang suka mengadu domba, dan orang yang memutuskan silaturrahim. Maka sesungguhnya mereka tidak akan bertaubat dan meninggalkan pekerjaan maksiatnya”.

Antara Peristiwa di Bulan Syaban,
1. Malam Nisfu Sya’ban pada 14 Syaaban. Keagungan malam Nisfu Sya’ban seumpama keagungan Rejab dengan malam Isra’ Mikrajnya dan keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya.
2. Berlaku penukaran qiblat dari Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis ke Kaabah di Masjidil Haram, Mekah pada 15 Syaaban.
3. Berlaku peperangan Bani Mustalik pada bulan Syaaban tahun kelima hijrah. Kemenangan berpihak kepada Islam
4. Perang Badar yang terakhir pada tahun keempat Hijrah.


Bacaan Yaasin Pada Malam Nisfu Syaban
Pada malam Nisfu Syaban, disunatkan membaca Surah Yaasin sebanyak tiga kali berturut-turut dengan niat doa yang berbeza-beza sebagaimana berikut :

1. Bacaan Yaasin yang pertama memohon supaya Allah SWT memanjangkan umur di dalam ketaatan kepadaNya dan sentiasa beramal soleh.
2. Bacaan kali kedua memohon supaya di tolak segala bala’ dan bencana yang bakal menimpa.
3. Bacaan kali ketiga memohon supaya kita tidak berhajat melainkan kepada Allah SWT dan memohon supaya dimurahkan rezeki yang halal.

Sekian, Wallahu a’lam..




No comments:

Post a Comment