Saturday 29 June 2013

Kerana Ustaz Azhar Idrus

Assalamualaikum w.b.t..

Hari ini cuma nak share sebuah cerpen yang berdasarkan kisah benar. Selamat membaca!


Kerana Ustaz Azhar – sebuah cerpen berdasarkan kisah benar

Kepala saya pening. Terlalu byk persoalan yg bermain dlm fikiran. Satu persatu masalah cuba saya atasi, namun semuanya buntu. Saya cuba buangkan perkara itu jauh-jauh, tp ia tetap juga berpusing-pusing dlm fikiran. Ketika termenung di jendela bilik, sayup-sayup saya terdengar suara seorang ustaz sedang memberikan kuliah agama. Suara itu datangnya dari arah ruang tamu. Memang ayah saya gemar mendengar ceramah-ceramah agama dan juga politik.

Membosankan! Saya bukanlah anti ataupun benci dengan ceramah agama, tetapi kebanyakan ceramah yg saya dengar seolah-olah Cuma tahu menghentam org yg melakukan dosa.Setiap kali saya mendengar ceramah agama, pasti ada sahaja yg terkena pada batang hidung saya. Saya akui memang saya sedikit liar dengan ajaran agama.

Tapi ceramah kali ini berlainan. Saya dengar butir kata yg dilontarkan oleh ustaz itu. Setiap kata-katanya membuatkan saya asyik sehinggakan hendak mendengar sehingga selesai. Perlahan-lahan saya membuka pintu bilik. Saya memasang telinga. Saya amati setiap kata yg dikeluarkan.Semua kata-katanya membuatkan saya berasa senang ditambah pula dengan lawak-lawak jenaka membuatkan ceramahnya tidak membosankan. Saya terkekek-kekek ketawa dari jauh.

Saya mengintai dari celahan pintu, siapa sebenarnya penceramah itu? Bunyi percakapannya seperti orang Terengganu. Hati saya membuak-buak ingin mengenali penceramah itu yg mampu membuka pintu hati saya untuk mendengar ceramah yg dia berikan.

Malam itu, saya telah mengambil VCD tersebut. Baru saya tahu, ustaz itu bernama Ustaz Azhar Idrus, seorang penceramah dari Terengganu. Saya terus membuka VCD tersebut di computer riba. Saya perlahankan suara supaya tidak didengar oleh adik-beradik yg lain. Sedar tidak sedar, ceramah itu sudah hampir berakhir. Saya berasa tidak puas. Ceramahnya juga membuatkan saya tidak kering gusi ketawa.

Saya kemudian membuat carian di youtube. Rupa-rupanya ustaz ini sudah popular. Satu persatu video saya saksikan. Semua siri ceramahnya menghiburkan dan dapat saya terima. Ceramah yg disampaikannya hampir keseluruhan menjawab persoalan yg bermain di minda saya. Tanpa diduga, satu persatu masalah yg saya alami terjawab.

Tiba-tiba, sewaktu saya sedang mendengar kuliah mengenai peranan suami dalam rumah tangga, fikiran saya terus terkenangkan satu wajah yg hampir saya lupakan. Hampir dua tahun saya tidak melihat wajah itu.

Perasaan rindu terus menyelinap ke dasar hati. Saya rindu dengan bekas isteri saya. Setelah dua tahun kami bercerai, saya hairan kenapa wajah itu tiba-tiba sahaja singgah dlm fikiran saya. Walaupun sebelum ini saya hidup bersamanya hampir empat tahun, saya mampu abaikan wajahnya. Namun, malam ini tidak semena-mena wajah itu kembali menerjah.

Tanpa disedari, air mata saya bercucuran jatuh. Sudah berpuluh tahun pipi ini Kering tanpa dibasahi air mata tapi malam itu air mata yg dipendam gugur juga. Saya tidak dapat menahan sebak. Segala kenangan bersama dengannya dahulu mula segar kembali dlm ingatan.

Saya tidak dapat melelapkan mata. Kata-kata yg diungkapkan oleh Ustaz Azhar benar-benar membuatkan diri saya terasa sangat kerdil. Saya terus menyelami diri. Banyak sangat dosa saya dengan Allah. Saya juga abaikan tugas saya sebagai seorang suami. Dia membuka semula lipatan silam yg saya telah abadikannya sebagai sejarah hidup. Peristiwa malam itu terbayang semula di ingatan…

KERETA SAYA meluncur masuk ke garaj rumah. Belum sempat saya matikan enjinnya, saya Nampak isteri saya tercegat di depan pintu rumah sambil mencekak pinggangnya. Saya terus keluar dari kereta. Tanpa mengendahkannya saya terus masuk ke dalam rumah dan menghempaskan punggung di atas sofa.

“Abang! Siapa Dania?” soal isteri saya. Terkejut juga saya dengan soalan yg diajukannya. Macam mana dia boleh kenal Dania, kekasih gelap saya? Saya tidak menjawab soalannya. Saya pekakkan telinga, kemudian bangkit untuk masuk ke dalam bilik. Baru sahaja hendak bangun, isteri saya menolak saya.

“Kenapa dengan awak ni? Dah gila ke?” tengking saya. Isteri saya makin menyinga. Katanya dia sudah tahu tembelang saya. Dia terus membebel sehingga membingitkan telinga saya. Disebabkan tidak tahan dengan leterannya, saya bangkit lalu menengkingnya kembali.

“Awak jangan nak mengajar saya! Saya tahu apa saya buat! Suka hati sayalah nak bercinta ke, nak apa ke? Awak tak berhak nak campur!” jerkah saya. Isteri saya makin tidak keruan. Kemarahannya tidak dapat dipadamkan lagi. Dia meluahkan rasa yg dipendamkan selama ini. Katanya, semenjak berkahwin dia tak pernah rasa bahagia. Saya sering meninggalkan tanggungjawab. Saya tidak pernah memberikan nafkah untuknya. Dia terpaksa mencari nafkahnya sendiri.

Kata-katanya membuatkan saya panas telinga. Akhirnya satu penampar singgah di mukanya. Tidak cukup dengan itu, saya melayangkan satu penyepak ke pahanya pula. Isteri saya terjelepok jatuh.

“kau tak bahagia kan? Kau dengar sini, kau boleh keluar dari rumah ni cari kebahagiaan kau sendiri. Aku pun tak tahan dengan kau. Aku ceraikan kau!” Ucap saya dengan bengis.

Waktu itu memang saya tidak hairan dengan penceraian itu. Sebelum ini pun, walaupun sudah berkahwin, masa saya lebih bersama kawan-kawan dan kekasih saya. Waktu bersama isteri hanya sekejap sahaja. Saya sendiri tidak faham kenapa. Setelah berkahwin dengannya, hanya lima bulan sahaja saya rasakan kebahagiaan, selepas itu rasa seperti tidak seronok.

Saya lebih seronok berada di luar bersama kawan-kawan. Saya rindukan zaman semasa saya bujang dahulu. Disebabkan itulah saya abaikan tanggungjawab sebagai suami. Saya lupa yg saya dah beristeri.

“Ya Allah! Aku berdosa kepada bekas isteriku.” Saya tidak menyangka sama sekali, keegoan saya selama ni boleh diranapkan dengan hanya mendengar beberapa siri ceramah sahaja. Perkara ini benar-benar membuatkan saya mahu mengenali penceramah tadi. Mungkin ada yg beranggapan perkara ini biasa, tetapi bagi saya ini satu yg menakjubkan.

Setiap malam jika ada kelapangan, saya pasti akan mencari ceramah-ceramah Ustaz Azhar di dalam internet. Saya kini seolah-olah baru sedar dari lamunan panjang. Saya seperti baru terjaga yg umur saya sudah meningkat dan mati sedang menghampiri saya. Banyak pelajaran yg saya terima. Terubat segala masalah yg terbuku apabila mendengar ceramah Ustaz Azhar. Bagi saya dia seorang penceramah yg faham naluri seorang insan yg hanyut dengan dosa. Segala permasalahan dia tidak menyelesaikan dengan cara yg keras. Hal ini membuatkan saya benar-benar seronok.

Saya mula menunaikan solat dan ada masanya saya juga ke surau. Segala apa yg saya lakukan tidak merasa beban, malah berasa sangat seronok. Kini, barulah saya dapat rasakan keseronokan melakukan ibadah.

Bagi saya, cara inilah yg perlu dilakukan oleh mana-mana pendakwah. Mereka harus memahami jiwa orang-orang yg jauh dari agama ini. Orang yg tersasar dari jalan Allah ini tidak boleh dilentur dengan kekerasan. Mereka juga mahu mencari jalan ke syurga. Tetapi apabila menggunakan kekerasan, mereka akan lebih memberontak dan menjauhkan diri.

NAMUN MASIH ADA perkara yg membuatkan hati saya tidak tenag. Saya masih lagi rasa bersalah dengan bekas isteri saya. Tetapi adakah dia dapat mengampunkan kesalahan saya? Walaupun malu rasanya untuk berbuat demikian, tetapi saya mesti lakukan. Jika tidak ia akan membuatkan hati saya rasa tidak tenang.

Langkah pertama saya lakukan ialah, saya pergi meronda ke rumah bekas mentua. Saya mahu memastikan bekas isteri saya tinggal di situ ataupun dia sudah berhijrah ke tempat lain. Sejak perpisahan saya dan dia dua tahun lepas, saya langsung tidak bertemu dengannya. Khabarnya sekali pun saya tidak dengar. Saya tidak tahu sekarang ini sama ada dia sudah berumah tangga atau belum.

Hampir seminggu meronda, saya pasti yg dia masih tinggal di situ. Pada mulanya perasaan malu membuak-buak. Tetapi saya gagahkan juga. Saya tidak mahu perasaan bersalah terus menerus bersarang dlm jiwa saya.

Setelah bertemu dengan bekas isteri saya dan keluarganya, Alhamdulillah, mereka dapat menerima dan memaafkan kesalahan saya. Jiwa saya menjadi sangat tenang setenang-tenangnya. 

Tanpa diduga, pertemuan itu membuahkan kembali bibit-bibit cinta antara kami berdua. Percintaan kali ini saya rasakan berbeza dengan dulu. Kalau dulu percintaan saya lebih kepada nafsu, tetapi kini saya lebih mengenali apa itu cinta, keluarga dan juga kebahagiaan.

Saya rasakan perkenalan ini seperti baru. Bekas isteri saya juga merasakan demikian. Perubahan saya menjadi tanda Tanya kepada seluruh keluarga. Jika dulu saya seorang pemarah, kini sifat itu semakin kurang. Saya juga mula belajar memaafkan orang dan belajar mengenali siapa pencipta saya sebenarnya.

Tidak sampai sebulan, ikatan perkahwinan yg terlerai dahulu kembali bersatu. Saya merasakan inilah rezeki terbesar saya. Allah masih lagi menyayangi saya. Saya dapat rasakan kehidupan yg sangat sempurna selepas perkahwinan kali kedua saya.

Dengan keberkatan-Nya juga, kini isteri saya telah mengandung anak sulung kami. Tidak sabar rasanya mahu menerima orang baru dalam keluarga. Sebelum ini, walaupun melayari bahtera selama empat tahun bersamanya, saya tidak dikurniakan cahaya mata. Tapi kini, baru dua bulan berkahwin, saya diberikan rezeki.

Allah Maha Berkuasa. Mungkin dahulu saya masih belum mampu memikul tugas sebagai bapa. Malah, sebagai seorang suami pun saya gagal, inikan pula mahu menjadi seorang bapa. Tetapi sekarang, saya dapat rasakan yg saya mampu dan sepenuhnya bersedia.

Saya berjanji kpd diri saya dan keluarga yg saya tidak akan mensia-siakan hidup keluarga saya. Saya rela berkorban walaupun nyawa saya jadi taruhan. Sehingga kini, perubahan saya masih lagi menjadi persoalan di kalangan ahli keluarga saya dan mentua. Mereka masih lagi tertanya-tanya bagaimana saya boleh berubah.

Semua ini tidak menjadi sekiranya tiada kesungguhan dlm diri, seperti firman Allah dlm surah ar-R’ad ayat 11 yang berbunyi: “Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya(dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kpd sesuatu kaum bala bencana(disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapa pun yg dapat menolak atau menahan apa yg ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapa pun yg dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.”


#sekadar perkongsian..


2 comments: